Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada sesi townhall berkenaan Pangkalan Data Utama (Padu) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 23 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Padu bukan soal subsidi semata, peluang kerajaan susun ekonomi

SHAH ALAM, 23 MAC: Dato’ Menteri Besar menyeru pemimpin masyarakat dan wakil persatuan penduduk menggiat usaha menghebah kepentingan pengemaskinian maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat perlu difahamkan mengenai tujuan Padu yang bukan hanya untuk sumbangan dan subsidi tetapi peluang kepada kerajaan menyusun ekonomi dan perjalanan negara dengan lebih baik.

“Daripada kecekapan perkhidmatan pentadbiran hinggalah kepada usaha menangani kemiskinan dan menentukan bentuk pelaburan yang ingin ditarik ke dalam negara dan negeri (itulah pentingnya data).

“Manfaatkan pecutan berbaki beberapa hari lagi untuk mendaftarkan inidividu di lokaliti masing-masing kerana ini (data) adalah masa depan kita dan negara,” katanya pada sesi town hall bersama Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli berkaitan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Orang ramai mendaftar Pangkalan Data Utama (Padu) pada sesi townhall berkenaan Padu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 23 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata negara bergantung kepada data, maklumat dan fakta sebenar untuk merencana dasar untuk manfaat rakyat.

“Ia bukan berdasarkan andaian atau pandangan peribadi. Kalau dulu ramai sebut luar bandar ramai miskin tapi sebenarnya realiti di bandar lebih susah kerana kita berdepan dengan isu kehidupan dan kos sara hidup tinggi (berdasarkan data).

“Jadi sama-sama kita gembleng kekuatan wujudkan gelombang pendaftaran (Padu) supaya kita boleh susun pelan pembangunan dan perancangan negeri dan negara dengan lebih baik,” katanya.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah, sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac.

 


Pengarang :