Anggota keselamatan melakukan rondaan di tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Pakistan, Maldives gesa PBB laksana segera gencatan senjata di Palestin

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 26 MAC: Pakistan dan Maldives antara negara menggesa pelaksanaan segera resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menamatkan serangan Israel hampir enam bulan ke atas Gaza dan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang menghadapi kebuluran.

“Kami menyeru pelaksanaan segera resolusi Majlis Keselamatan yang diterima pakai hari ini (25 Mac), dengan harapan ia menjadi langkah pertama ke arah menamatkan serangan kejam Israel, memastikan gencatan senjata kekal dan membantu menangani situasi kemanusiaan yang serius di Gaza,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan.

Majlis Keselamatan PBB pada Isnin menerima resolusi meminta gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza sempena Ramadan sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang dapat bertahan lama.

Sebanyak 14 negara mengundi menyokong resolusi yang dibentangkan oleh 10 ahli majlis berkenaan manakala Amerika Syarikat berkecuali, menurut laporan berita.

Sementara itu, Menteri Luar Maldives Moosa Zameer berkata negaranya menganggap penerimaan resolusi Majlis Keselamatan PBB itu sebagai langkah penting ke arah memastikan gencatan senjata berkekalan di Gaza.

“Resolusi itu perlu dilaksanakan sepenuhnya dan rakyat Palestin perlu menerima bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan,” katanya.

Kebencian antarabangsa terhadap Israel meningkat berikutan kempen pembunuhan beramai-ramai yang tidak berkesudahan dengan menyasarkan hospital, rumah dan infrastruktur awam lain serta mengebom orang yang berkumpul untuk mengutip bantuan makanan.

“Resolusi ini perlu dilaksanakan. Kegagalan tidak boleh dimaafkan,” kata Setiausaha Agung PBB, António Guterres.

Israel membunuh dan mencederakan lebih 100,000 rakyat Palestin menyebabkan dua juta orang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh 171 hari sejak 7 Oktober di wilayah Palestin yang dikepung.

– BERNAMA


Pengarang :