Seorang wanita Palestin berdiri di atas runtuhan susulan serangan berterusan Israel di Rafah, Semenanjung Gaza pada 3 Februari 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Palestin bagaikan neraka bagi ibu hamil, kanak-kanak, lebih 30,000 individu terbunuh

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Tanggal 8 Mac, di saat dunia meraikan Hari Wanita Sedunia, wanita di Gaza terus menderita, dihimpit berbagai rintangan susulan serangan tanpa henti tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza yang kini memasuki bulan kelima.

Menurut perangkaan Kementerian Luar Palestin pada Khamis, 8,900 mangsa daripada keseluruhan angka korban yang kini mencecah lebih 30,000 terdiri kaum wanita manakala 12,750 lagi kanak-kanak.

Penduduk Gaza, Ahmad, 31, menyifatkan keadaan yang dilalui sekarang umpama neraka terutama bagi ibu hamil dan kanak-kanak.

Ahmad berkata Disember lalu, beliau dan isteri Asma Ahmad yang ketika itu hanya menghitung hari untuk bersalin terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang.

Mereka terpaksa meninggalkan rumah yang terletak di utara Semenanjung Gaza apabila kawasan perumahan dibedil tentera Zionis Israel.

Mengimbau detik cemas itu kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Ahmad berkata: “Saya sangat bimbangkan keselamatan bayi kami. Saya sangka ajal kami sudah tiba”.

Ahmad terpaksa membawa isteri meredah sisa konkrit di tengah kegelapan malam dengan berpandukan cahaya letupan bom sebelum bertemu petugas perubatan dan dibawa ke sebuah sekolah yang menjadi tempat mereka berlindung sehingga sekarang.

Pada malam itu juga isterinya bersalin dan pasukan perubatan bertungkus-lumus membantu proses kelahiran bayi sulungnya dengan bantuan cahaya telefon bimbit masing-masing.

Mereka memotong tali pusat bayi yang diberi nama Faraq itu dengan gunting biasa yang ditemukan di situ tanpa disteril.

“Sudahlah larut malam, rejim Zionis pula terus mengganas. Mereka menembak apa saja yang bergerak di jalanan pada waktu itu. Jadi kami tidak dapat membawanya ke hospital,” kata Barra’ Jabir, jururawat yang menyambut kelahiran bayi itu yang kini sudah berusia empat bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 52,000 wanita hamil di Gaza terdedah risiko susulan sistem kesihatan yang lumpuh akibat serangan berterusan Israel.

Bayi dan kanak-kanak juga berdepan risiko kematian kerana ketiadaan makanan asasi yang mencukupi seperti air dan makanan.

Ibu hamil juga mengalami tekanan perasaan seperti dialami Malak Syubat, 21, yang mencari tempat berlindung di bandar Rafah, selatan Gaza setelah beberapa kali berpindah-randah.

“Saya sangat risau untuk melahirkan anak dalam suasana getir di sini,” katanya yang sarat mengandung.

Serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu mengorbankan 30,717 orang dan menyebabkan 72,156 cedera manakala ribuan lain tertimbus di bawah runtuhan bangunan selain kemusnahan teruk kemudahan kritikal termasuk hospital dan kekurangan ubat-ubatan.

Dianggarkan 71 peratus penduduk Semenanjung Gaza kini diancam krisis kebuluran manakala 98 peratus lagi tidak mempunyai makanan mencukupi, menurut pertubuhan hak asasi manusia Euro-Mediterranean.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :