AGENDAJENAYAH

Panik dituduh seludup dadah, pesara guru rugi lebih RM138,000 ditipu penyamar polis

KUANTAN, 6 MAC: Seorang pesara guru kerugian lebih RM138,000 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon menyamar pegawai polis dan pegawai pusat keselamatan Putrahaya bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 59 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar pegawai keselamatan di Putrajaya pada 17 Feb lepas, memaklumkan mangsa terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah dan senjata api.

“Panggilan itu kemudiannya telah disambung kepada suspek menyamar sebagai pegawai polis dan meminta mangsa memasukkan kesemua wang miliknya ke dalam satu akaun bagi tujuan siasatan selain diarahkan memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia yang dihantar melalui pautan di WhatsApp wanita itu.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas dimaklumkan pihak bank kerana terdapat 11 transaksi mencurigakan dalam akaunnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Katanya masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

— BERNAMA


Pengarang :