EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 7 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pelaburan industri ICT catat pertumbuhan hingga 39 peratus tahun lalu

SHAH ALAM, 7 MAC: Pelaburan negeri dalam industri teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan sehingga 39 peratus tahun lalu.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata industri itu mencatat pertumbuhan lima peratus pada suku pertama tahun lalu diikuti suku kedua (15 peratus) dan terakhir 39 peratus (suku ketiga).

“Berdasarkan trend ini, pertumbuhan ini menggambarkan sektor ekonomi digital perlu diberikan penekanan bagi memastikan perkembangan ekonomi yang mampan di Selangor,” katanya.

Menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Pua Pei Ling, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membangunkan ekonomi digital di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) termasuk kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.

“Kerajaan Negeri juga menubuhkan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor yang berperanan menyediakan latihan yang berkaitan dalam ekonomi digital kepada usahawan IKS.

“Malah, Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor telah menggariskan pelaburan digital antara kluster industri yang diberikan penumpuan sebagai industri yang berpotensi untuk berkembang,” katanya.

Tahun lalu, Selangor merekodkan jumlah pelaburan RM55.3 bilion melebihi sasaran RM45 bilion yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Jumlah pelaburan diumumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia merangkumi pelaburan domestik dan asing iaitu projek perkilangan atau sektor pembuatan mencatatkan peningkatan daripada RM19.3 bilion tahun lalu berbanding RM12.2 bilion pada 2022.


Pengarang :