ADNSELANGOR

Peluang sertai saringan percuma di Karnival Kesihatan Rahmah DUN Batu Tiga esok

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 8 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Batu Tiga mempelawa penduduk sekitar menyertai Karnival Kesihatan Rahmah di Dewan Apartment Seri Kayan, Taman Pinggiran USJ 2 di sini, esok.

Wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata karnival yang bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari menyediakan pelbagai kegiatan termasuk program saringan kesihatan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial secara percuma.

“Program ini bertujuan melakukan pengesanan awal penyakit melalui pemeriksaan ujian BMI (Indeks Jisim Badan),kadar gula dalam darah dan tekanan darah.

“Turut diadakan pemberian kupon mammogram, pemeriksaan HPV DNA serta baucar Skim Mesra Usia Emas,” katanya menerusi Facebook.

Selain pembukaan kaunter Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) dan kaunter pelbagai agensi, karnival berkenaan turut menyediakan aktiviti menarik untuk kanak-kanak.

“Antaranya pertandingan mewarna kategori 7 hingga 9 tahun dan 10 hingga 12 tahun selain pertandingan bayi comel serta Soopa Doopa.

“Jangan lepaskan peluang ini dan semua dijemput hadir beramai-ramai ke Karnival Kesihatan Rahmah DUN Batu Tiga,” katanya.


Pengarang :