AGENDAJENAYAH

Pemandu, penumpang parah, 18 lagi cedera bas ekspres terbabas

IPOH, 3 MAC: Pemandu dan seorang penumpang parah dalam nahas melibatkan sebuah bas ekspres dan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Changkat Cermin, Manjung, kira-kira 62 kilometer dari sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata bas ekspres terbabit dinaiki 18 penumpang lagi yang turut cedera dipercayai dari Lumut menuju ke Ipoh.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.38 petang.

“Setibanya jentera di lokasi kemalangan melibatkan Toyota Hilux dan sebuah bas ekspres yang terbabas ke dalam parit di bahu jalan.

“Tiada mangsa tersepit, bagaimanapun terdapat dua mangsa iaitu pemandu lelaki bas ekspres dan seorang penumpang wanita parah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Sabarodzi, anggota bomba turut memberi rawatan awal kepada mangsa yang parah dengan dibantu pegawai perubatan.

“Pemandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan dan kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Seri Manjung menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Manjung dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua mangsa yang mengalami kecederaan ringan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7.17 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang juga dari Lumut menuju ke Ipoh menukar lorong secara melulu.

“Kenderaan Toyota Hilux berada di lorong kanan sebelum mengubah haluan ke kiri secara tiba-tiba untuk ke lorong kiri (ke arah laluan bas ekspres).

“Tindakan itu menyebabkan pemandu bas ekspres tidak sempat menekan brek lalu gagal mengawal kenderaan dan kemudian terbabas,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

– BERNAMA


Pengarang :