Atlet terjun negara Bertrand Rhodict Lises beraksi pada pusingan akhir terjun 10 meter platform pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di pusat sukan akuatik Olimpik Hangzhou pada 4 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Piala Dunia: Bertrand duduki tempat ke-10 acara 10 meter platform lelaki

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises menamatkan acara 10 meter (m) platform lelaki di tempat ke-10 daripada 11 penerjun pada Piala Dunia Terjun 2024 di Montreal Kanada, pada Sabtu.

Atlet terjun tunggal negara yang layak ke Sukan Olimpik 2024 itu, mengumpulkan 389.85 mata selepas enam terjunan pada acara berlangsung di Parc Olympique.

Penerjun China Yao Hang menjuarai acara itu dengan mengumpulkan 533 mata, sementara penerjun dari Mexico Randal Willards Valdez yang menjadi pencabar utama menang perak (530.90 mata), manakala seorang lagi penerjun China Lian Junjie di tempat ketiga (514.65 mata)

Bertrand berpeluang memperbaiki aksinya hari ini, apabila berpasangan dengan Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Piala Dunia Terjun 2024 berlangsung dalam tiga siri, selepas Montreal, ia akan diadakan di Berlin, Jerman dari 21-24 Mac, diikuti dengan final super di Xi’an, China, dari 19-21 April.

– BERNAMA


Pengarang :