Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Kampung Jambu, Kajang pada 23 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PKPS dicadang anjur jualan murah waktu malam, tambah kuantiti

SHAH ALAM, 1 MAC: Wakil rakyat Balakong mencadangkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dianjur selepas waktu bekerja.

Wayne Ong Chun Wei berkata ia bertujuan memudahkan orang ramai yang bekerja pada waktu siang mendapatkan barangan keperluan waktu malam.

ADN Balakong Wayne Ong Chun Wei

“Saya juga ingin mencadangkan supaya jumlah barangan asas yang dijual itu dapat ditambah supaya mencukupi permintaan pengunjung,” katanya.

Beliau berucap ketika membahas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

JER berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri terpilih setiap hari kecuali Jumaat.

Ia menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

 


Pengarang :