Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil Cyberjaya pada 1 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM mahu LHDN kutip lebih banyak hasil berbanding unjuran RM197 bilion

PUTRAJAYA, 1 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat mengutip lebih banyak hasil tahun ini berbanding unjuran ditetapkan sebanyak RM197 bilion.

Perdana Menteri berkata LHDN berjaya mencipta sejarah baharu kutipan cukai negara pada tahun lalu iaitu RM183.34 bilion, melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada jumlah kutipan tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau berkata pada hakikatnya, Malaysia masih mempunyai asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara jiran lain seperti Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat dan individu untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan tampil membayar cukai.

“Bilangan syarikat yang membayar cukai masih rendah iaitu sekitar 435,000 syarikat berbanding 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia.

“Ini bermakna kurang daripada 29 peratus syarikat berdaftar membayar cukai,” kata beliau pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga 31 Disember 2023, jumlah pembayar cukai individu adalah 5.7 juta dengan hasil kutipan RM40.96 bilion dan bagi syarikat pula 539,113 dengan hasil kutipan RM98.77 bilion.

Anwar berkata tidak menafikan langkah-langkah yang telah diambil oleh LHDN telah berjaya meningkatkan hasil negara.

Beliau berkata peningkatan hasil kutipan cukai akan menguntungkan rakyat yang memerlukan.

“Peningkatan hasil daripada usaha LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah membantu menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang telah digandakan bayarannya sementelahan jumlah penerima melonjak kepada 700,000 berbanding 210,000 tahun lepas,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq berkata pihaknya akan meluncurkan lima produk perkhidmatan digital baharu iaitu e-CKM (Cukai Keuntungan Modal), HASiL Tax HTB 2023, Profiling Information Systems (PINS), e-Sekatan Perjalanan dan Behavioural Insights Tools: Compliance Empowerment.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada isu ketirisan cukai melibatkan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai, pendapatan dari Malaysia yang disimpan dalam akaun luar negara yang belum dilapor, transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik, aktiviti dalam talian dan kes-kes ekonomi bayangan.

“Perlaksanaan E-Invois juga adalah inisiatif utama HASiL pada 2024,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :