Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Majlis Anugerah Buku Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 21 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM Pakistan pelawa Anwar lawat negara itu, bina hubungan lebih utuh

NEW DELHI, 5 MAC: Perdana Menteri baru Pakistan Shehbaz Sharif menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melawat negaranya ketika kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan bilateral yang lebih teguh melalui panggilan telefon.

Anwar menghubungi Shehbaz semalam untuk mengucapkan tahniah kepadanya kerana dilantik Perdana Menteri ke-24 Pakistan.

“Perdana Menteri mengundang Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim untuk melawat Pakistan. Sambil menerima undangan itu, Perdana Menteri Malaysia juga menjemput PM Shehbaz Sharif untuk melawat negaranya,” lapor agensi berita negara itu Associated Press of Pakistan (APP).

Kedua-dua mereka menekankan kepentingan pertukaran tingkat tinggi secara berkala untuk membina hubungan yang lebih utuh antara Pakistan dan Malaysia.

Selain hubungan bilateral, kedua-dua pemimpin juga membincangkan situasi di Gaza, menurut laporan APP.

Shehbaz menghadapi cabaran berat untuk menstabilkan ekonomi dan menenangkan ketegangan politik antara kerajaan gabungan yang dipimpin oleh parti beliau Liga Muslim-Nawaz (PML-N) dan pembangkang Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) bekas perdana menteri Imran Khan.

Tiada parti yang mendapat majoriti mudah di Dewan Perundangan selepas pilihan raya 8 Februari lalu.

Shehbaz dipilih ke jawatan tertinggi pada Ahad dengan sokongan daripada parti-parti lain, termasuk Parti Rakyat Pakistan (PPP).

– BERNAMA


Pengarang :