AGENDAJENAYAH

Polis rampas mercun, bunga api bernilai RM8,000 disyaki diperoleh tanpa lesen

KANGAR, 12 MAC: Polis menahan seorang peniaga produk sejuk beku selepas menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM8,000 dalam sebuah rumah di Taman Guar Gajah, Arau semalam.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam Op Kontraban/Hambat oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau pada 5.30 petang.

“Mercun dan bunga api yang disyaki diperoleh tanpa lesen itu ditemukan di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai lapan rekod lampau termasuk jenayah dan dadah itu direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seskyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

— BERNAMA


Pengarang :