Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu (tiga, kiri) meletakkan plakad Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran ketika sesi libat urus di Bazar Ramadan Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 17 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program kumpul lebihan makanan bazar Ramadan diteruskan, elak pembaziran

SEPANG, 17 MAC: Aktiviti pengumpulan lebihan makanan tidak terjual menerusi program MySaveFood@Ramadan 2024 diteruskan ke 36 bazar Ramadan terpilih di tujuh negeri yang menggunapakai Akta 672.

Timbalan menteri pembangunan dan kerajaan tempatan berkata menerusi program itu makanan yang terkumpul akan diagihkan kepada golongan memerlukan sekali gus mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan.

Datuk Aiman Athirah Sabu berkata menerusi projek itu lebih 10,376 kilogram lebihan makanan dikumpul dengan nilai RM208,020 dari 55 bazar Ramadan seluruh negara tahun lalu.

“Tahun ini ia diteruskan dengan kerjasama Pemuda Gema Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672.

“Sempena Ramadan ini juga Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut melakukan sesi libat urus bersama penjaja dan pengunjung di 71 bazar Ramadan di tujuh negeri terbabit.

“Antara pengisian sesi libat urus termasuk ceramah, pameran, promosi bahan pendidikan dan tips mengelak pembaziran makanan,” katanya selepas meninjau kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Tahun 2024 di Bazar Ramadan Kosmopleks Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya sebanyak 8,159 tan sisa pepejal dilupuskan di 28 tapak pelupusan seliaan SWCorp pada Ramadan tahun lalu dengan 2,892 tan daripadanya adalah sisa makanan.

“Jumlah sisa makanan yang dilupuskan pada tahun lalu berkurang 3.07 peratus berbanding tahun sebelumnya dan ia dijangka turun kepada tiga peratus tahun ini berdasarkan trend pelupusan tahun lalu,” katanya.

Terdahulu Aiman Athirah mengedarkan plak kempen dan apron kepada 155 peniaga selain 300 beg guna semula serta mangkuk tingkat kepada pengunjung di bazar Ramadan berkenaan.


Pengarang :