SHAH ALAM, 2 MAC: Megat Mohammed Atiffalah Megat Mohammed Afiq dan Nor Ruzana Natiah Jaafar masing-masing muncul johan keseluruhan Hafazan dan Tilawah al-Quran peringkat negeri malam tadi.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan Megat Mohammed Atiffalah, 16, memperoleh markah 97.35 peratus manakala Nor Ruzana Natiah, 41, (89.5 peratus).
Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kedua-dua mereka mewakili Selangor pada Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung di Pahang pada 23 hingga 28 Mei.
“Ulasan para hakim bagi kesemua peserta berjaya mempersembahkan alunan tilawah al-Quran secara mujawwad menepati format penganjuran.
“Bagi peserta hafazan pula, para hakim mendapati penguasaan tajwid semua peserta adalah baik. Dari segi fasohah, penguasaan waqf dan ibtidaa’ perlu dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan pada majlis penutup di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang. Hadir mengiringi Baginda Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala iringan dan nilai emas 20 gram.
Megat Mohammed Attifalah mengakui terkejut apabila namanya diumum johan keseluruhan kategori hafazan dan menyifatkan semua peserta memberi saingan hebat.
“Saya tidak jangka diumumkan sebagai pemenang memandangkan menghadapi saingan dengan Qari yang lebih ‘senior’ dan juara bertahan.
“Alhamdulilah kemenangan ini berkat dari amalan saya bangun tunaikan solat tahajud pada setiap jam 4 pagi, mohon doa diberi ketenangan supaya tidak gementar di atas pentas,” kongsinya.
Sementara itu, Nor Ruzana Natiah, 41, meluahkan rasa syukur di atas kejayaan mempertahankan kejuaraan keseluruhan kategori tilawah buat dua tahun berturut-turut.
“Saya rasa gembira markah tahun ini lebih baik dari tahun lalu, ini menunjukkan terdapat peningkatan prestasi saya hasil dari latihan bersama Akademi Literasi al-Quran anjuran Jais,” katanya.
Pada majlis sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim berkata penganjuran majlis tilawah dan hafazan al-Quran merupakan komitmen Kerajaan Negeri martabatkan al-Quran di Selangor.
“Penganjuran majlis ini telah melahirkan para qari dan qariah yang mahir mengalunkan bacaan al-Quran selain kemampuan menghafaz tanpa melihat kepada manuskrip al-Quran itu sendiri.
“Kemahiran ini menjadi satu daya penarik untuk lebih ramai lagi umat Islam mempelajari selok-belok bacaan al-Quran dan memahami intipati kandungannya,” katanya.