AGENDAJENAYAH

Remaja lemas selepas terjatuh dalam kolam tadahan

MUAR, 14 MAC: Remaja berusia 15 tahun lemas selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air di kawasan kebun kelapa sawit di Parit Shafie, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam kenyataan berkata ketika kejadian pada 4.57 petang itu, Muhammad Adam Aqasha Abdullah pada mulanya bermain air bersama tujuh rakannya.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa terjatuh dan cuba dibantu rakannya namun tidak berjaya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan anggota dan pasukan penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar,” katanya dan menambah mayat mangsa ditemukan di dasar kolam pada 9.45 malam dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar Pengusaha Bomba Kanan I Johar Tumin berkata sembilan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Menurut Johar mayat remaja itu ditemukan pada kedalaman tiga meter dengan jarak dua meter dari tebing mangsa terjatuh selepas pihak bomba melakukan teknik pencarian permukaan.

– BERNAMA


Pengarang :