Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Sumbangan Ihya Ramadan Masjid Dan Surau Dun Gombak Setia dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak pada 31 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

RM1.6 juta sumbangan kepada masjid, surau sekitar Gombak

GOMBAK, 31 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Gombak memperuntuk RM1.6 juta sumbangan Ramadan kepada 129 masjid dan surau di kawasan itu.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah itu sebanyak RM20,000 disalurkan kepada 21 masjid diikuti RM15,000 kepada 20 surau solat Jumaat dan RM10,000 (88 surau).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan peruntukan itu sumbangan bersama Pejabat Dato’ Menteri Besar, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan sumbangan orang perseorangan.

“Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak mempermudah dan meringankan beban pihak pengurusan masjid dan surau yang turut berdepan dengan cabaran peningkatan jumlah kehadiran pengunjung terutama ketika waktu berbuka puasa dan moreh.

“Saya percaya bantuan ini juga dapat menghidupkan suasana dan menyemarakkan aktiviti sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Ihya’ Ramadan Masjid dan Surau DUN Gombak Setia dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin turut menyerahkan sumbangan kepada lapan buah masjid dan 33 surau serta 12 surau solat Jumaat di DUN Gombak Setia.


Pengarang :