Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2023 bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali Bella berusia 13 tahun. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Sabitan salah dera Bella, keputusan rayuan Siti Bainun pada 24 April

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 24 April ini keputusan bagi rayuan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didapati bersalah atas kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md Noor dan Nurul Hafidzah Hassan mewakili Siti Bainun selaku perayu dan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.

“Mahkamah telah meneliti kesemua hujahan lisan pihak pendakwaan dan pembelaan. Oleh itu, saya akan memberikan alasan penghakiman yang ringkas pada tarikh itu,” kata Noorin ketika pendengaran berhubung sabitan itu.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta dan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman itu selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Siti Bainun, yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Bella,13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, turut diperintah menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Wanita itu juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Terdahulu, Haijan berhujah Hakim Mahkamah Sesyen telah tersalah arah dalam mensabitkan kesalahan terhadap Siti Bainun selain hak anak guamnya telah diprejudiskan kerana tidak diwakili peguam semasa pertuduhan pindaan (menganiaya) dibacakan.

Beliau berkata Siti Bainun ada meminta penangguhan prosiding bela diri kerana dia tidak diwakili peguam pada ketika itu, namun permohonannya tidak dibenarkan hakim bicara dan disuruh membela diri dengan membaca pernyataan saksinya.

Haijan berkata pihak pendakwaan juga tidak memanggil dua remaja dikenali sebagai Aida dan Balqis yang merupakan bekas penghuni rumah kebajikan itu yang menyaksikan kejadian berlaku pada Bella.

Sementara itu, Analia berkata dua saksi itu tidak dipanggil kerana mereka merupakan saksi kanak-kanak dan keterangan mereka mencukupi ketika mereka disoal siasat.

“Ketika kejadian, remaja berusia 14 dan 16 tahun itu berada di bawah pemeliharaan Siti Bainun. Mengambil perkara itu, pihak kami menghujahkan tiada keterangan lain diperlukan,” katanya.

Seorang lagi peguam Siti Bainun iaitu Nur A’minahtul berkata berdasarkan keterangan pakar perubatan kecederaan yang ada pada tubuh badan Bella telah semakin baik kecuali di bahagian tangan kanan dan kiri Bella kerana tabiat remaja perempuan itu suka mengopek keruping luka itu.

“Tidak ada sebarang penderaan dan penganiayaan malah rekod perubatan Bella juga tidak dibawa ke mahkamah. Ini menunjukkan Siti Bainun telah mengambil semua tindakan merawat Bella selepas mengetahui kecederaan itu berlaku,” kata Nur A’minahtul.

Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2023 menolak permohonan Siti Bainun agar pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya ditangguhkan selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.

— BERNAMA


Pengarang :