Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sasar jadi pemimpin ekonomi Asean, kerajaan diseru majukan PKS

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan persekutuan disaran memajukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan negara berkembang pesat selain meneroka peluang menjadi pemimpin ekonomi di peringkat Asean.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 97 peratus syarikat perusahaan yang berdaftar di negara itu merupakan PKS dan sektor itu menyumbang 38.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Saya cadang apa salahnya pada tiap-tiap tahun kerajaan mencubit lima peratus daripada RM106 bilion kutipan cukai pada 2023 untuk untuk diagihkan kepada negeri-negeri berdasarkan pencapaian mereka dalam membangunkan PKS.

“Program pembangunan PKS tidak boleh hanya tertumpu pada peringkat nasional sahaja, negeri juga harus dipertanggungjawab kerana ia mampu menangani dan membangunkan ekonomi dan menjadi penampan kepada masalah lain yang mungkin kita hadapi,” katanya ketika Perbahasan Titah Diraja di Parlimen hari ini.

Dato’ Menteri Besar juga berkata bagi memperkemaskan lagi sektor tersebut, kerajaan perlu membangunkan segera tenaga kerja mahir dan berkualiti.

“Terdapat sekurang-kurang dua ruang yang mana Malaysia mempunyai kelebihan dan rujukan di rantau ini iaitu aspek penghasilan tenaga dan sumber yang boleh diperbaharui.

“(Selain itu) mempunyai kelengkapan ‘high end’ dalam bidang teknikal dan vokasional. Dalam mencapai hasrat ini kita harus membina sistem inovasi nasional,” katanya lagi.

Amirudin juga menyeru kerajaan mengambil pengalaman Jepun dalam memajukan PKS yang mana negara itu bermula dengan industri penghasilan kereta bersaiz kecil dengan kos yang rendah.

“Syarikat ini meningkatkan kuantiti pengeluaran dan membuat kajian dan sebagainya.. pada hari ini pengeluar kereta terbesar di dunia adalah Toyota,” katanya lagi.


Pengarang :