SHAH ALAM, 20 MAC: Kerajaan Selangor menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) dalam Sidang Kemuncak dan Ekspo Bandar Pintar di Taipei, Taiwan sehingga 23 Mac ini.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pemeteraian itu melibatkan pelbagai bidang inovasi dan teknologi termasuk pengangkutan, penyelidikan dan pembangunan bandar pintar serta pendidikan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata ia bakal membuka laluan baharu kerjasama bidang berkaitan dalam memacu pembangunan Selangor sebagai negeri pintar.
“Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) memeterai MoU dengan Jabatan Teknologi Maklumat Kerajaan Bandar Raya Taipei bagi menubuhkan Makmal Mobiliti Selangor ke arah merevolusi sistem pengangkutan di negeri ini.
“Sidec turut menandatangani MoU dengan Persatuan Komputer Taipei bagi merangsang inovasi antara Selangor dan Taipei sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat baru dalam pasaran yang kompetitif.
“Selain itu kerjasama turut dimeterai antara Sidec dan Institut Industri Maklumat (III) bagi penyelidikan, pembangunan dan projek rintis teknologi bandar pintar serta sektor Alam Sekitar, Sosial dan Amalan Tadbir Urus (ESG) untuk memupuk bakat khusus,” katanya menerusi Facebook semalam.
Mengulas lanjut Sze Han berkata MoU lain membabitkan Sekolah Digital Selangor dengan Akademi AI Taiwan dan Makmal AI Taiwan bagi menyediakan pendidikan AI kepada graduan.
“Ekspo itu turut disertai 10 syarikat pemula Selangor di bawah reruai Sidec bagi memberi pendedahan kepada mereka untuk penerokaan peluang menerusi penyertaan dalam ekspo antarabangsa,” katanya.
Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM1 juta bagi penubuhan Pusat AI Selangor dalam usaha memantapkan lagi sistem perkhidmatan Kerajaan Negeri.
Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor tidak mahu ketinggalan dan ingin merebut peluang dalam teknologi baharu yang sedang berkembang di seluruh dunia.
Selain industri AI, Kerajaan Negeri berhasrat memantapkan pembangunan dron menerusi pembinaan industri peranti keras (hardware) dengan peruntukan RM2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2024.