EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) melihat replika Hab Lijistik PTT 1 pada majlis pecah tanah di PTT Synergy Group Berhad, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 24 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor meterai MoU di Taiwan, majukan semikonduktor dan teknologi AI

SHAH ALAM, 24 MAC: Kerajaan Negeri memeterai usahasama dengan pelbagai agensi pelaksana Taiwan membabitkan industri semikonduktor dan pendidikan kecerdasan buatan (AI), baru-baru ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata kerjasama menerusi lima memorandum persefahaman (MoU) itu dilaksana di Sidang Kemuncak dan Ekspo Bandar Pintar di Taipei, Taiwan yang berakhir semalam.

“Kita tandatangan lima MoU, antaranya dengan pihak berkuasa tempatan Taipei dan beberapa persatuan bagi meningkatkan bidang semikonduktor dan teknologi AI.

“AI antara yang menjadi tumpuan kerana kita serius untuk majukan bidang itu. Kerjasama itu juga bakal melatih dan melahirkan pakar AI di Selangor,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis pecah tanah gudang PTT Logistics Hub 1 di pusat galeri pameran PTT Synergy Group Berhad di Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM1 juta bagi penubuhan Pusat AI Selangor dalam usaha memantapkan lagi sistem perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor tidak mahu ketinggalan dan ingin merebut peluang dalam teknologi baharu yang sedang berkembang di seluruh dunia.

Selain industri AI, Kerajaan Negeri berhasrat memantapkan pembangunan dron menerusi pembinaan industri peranti keras (hardware) dengan peruntukan RM2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2024.


Pengarang :