Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlansung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor perluas industri pengetahuan, terjemah buku pelbagai genre

SHAH ALAM, 4 MAC: Aktiviti menterjemah dan menerbitkan buku pelbagai genre termasuk karya agung sejak beberapa tahun lalu menyokong usaha penggalakan industri pengetahuan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pentadbiran negeri turut menumpukan program penjualan buku dan penganjuran karnival bahan bacaan.

“Kerajaan Negeri memperkasa pengeluaran buku supaya industri ini diterima dan terus berkembang. Kita tidak mahu ia hanya merujuk kepada institusi seperti sekolah atau pusat asuhan sahaja.

“Dalam masa sama, kita juga mempunyai beberapa institusi pendidikan yang sangat berkait dengan industri pengetahuan terutama universiti dan kolej,” katanya dalam sidang Dewan Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Batang Kali Muhaimin Harith Abdullah Sani berhubung usaha negeri dalam memajukan industri pengetahuan.

Kerajaan Negeri menerusi Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menterjemah buku pelbagai genre antaranya agama, sejarah dan falsafah menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.

Sejak 2006, Selangor juga menganjurkan pesta buku bermula di Kompleks PKNS dan kini dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor, yang turut disertai penerbitan luar negara.

Pada Disember tahun lalu, Amirudin turut menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara menerusi Anugerah Buku Negara 2023.


Pengarang :