Konsep Perumahan Inklusif Madani akan menjadi teras pembangunan kediaman mampu milik di negara ini (gambar hiasan). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Separuh sasaran 500,000 rumah mampu milik dibina takat 2023

SHAH ALAM, 25 MAC: Lebih 50 peratus daripada sasaran pembinaan rumah mampu milik sedang disiapkan dan sudah siap dibina setakat September 2023.

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kerajaan menetapkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

“Bawah RMK-12, kerajaan menetapkan sasaran pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik. Sehingga 30 September 2023, 274,258 unit telah siap dibina dan dalam fasa pembinaan.

“Jumlah ini menyumbang kepada 54.8 peratus daripada 500,000 unit rumah mampu milik yang kita sasarkan. Kerajaan sentiasa memberikan komitmen berterusan bagi memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Aiman Athirah Sabu. Foto Facebook Berita RTM

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian-PN) yang ingin mengetahui jumlah pembinaan rumah mampu milik di Dewan Rakyat, hari ini.

Aiman Athirah menambah penyediaan rumah mampu milik dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.

Jelasnya, KPKT turut melaksana pelbagai program perumahan seperti perumahan rakyat, rumah mesra rakyat dan perumahan PR1MA bagi memastikan sasaran dipenuhi.

“KPKT juga sentiasa melihat peluang kerjasama bagi pembangunan projek baharu melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri atau pemaju swasta dalam penyediaan perumahan mampu milik,” katanya.


Pengarang :