Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media kejayaan PDRM menumpaskan sindiket tipu pelaburan urus niaga mata kripto (Crypto AI Trading Bot) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada 24 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Skim pelaburan palsu ‘Amundi’ tumpas, 16 individu termasuk warga emas ditahan

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Polis menumpaskan skim penipuan pelaburan palsu ‘Amundi’ yang didakwa menawarkan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh 48 jam dengan menahan 16 individu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sindiket itu dikesan giat mempromosikan aktiviti tersebut di media sosial dengan menggunakan nama ‘Pelaburan Amundi (Asset Management) Sdn Bhd’.

“Hasil siasatan mendapati tawaran pelaburan ini menjanjikan pulangan keuntungan yang sangat tinggi hanya dalam tempoh 48 jam dengan menawarkan beberapa pakej istimewa seperti ‘Basic’, ‘Premium’, ‘Crown’ dan ‘Superconquer’.

“Modus operandi sindiket ini menggunakan pakej istimewa di mana ‘Basic’ dengan modal RM600 membawa keuntungan RM8,500, diikuti ‘Premium’ bermodalkan RM900 menjamin pulangan sehingga RM15,500,” katanya pada sidang media JSJK di sini, hari ini.

Ramli berkata dua pakej lain ditawarkan ialah ‘Crown’ dengan modal pelaburan RM1,800 berserta keuntungan dijamin sebanyak RM35,500 manakala ‘Superconquer’ dengan modal pelaburan RM4,000 dan keuntungan mencecah RM85,500.

Beliau berkata setakat ini 15 kertas siasatan dibuka terhadap skim penipuan itu melibatkan nilai kerugian lebih RM166,000.

“Dalam usaha untuk menumpaskan kegiatan sindiket ini, 16 individu terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita ditahan dalam dua operasi di Johor dan Sarawak pada 6 dan 7 Mac lalu dan polis turut merampas 20 telefon bimbit, sebuah komputer riba, tiga keping kad mesin ATM dan sebuah beg silang,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ialah warga tempatan berusia antara 21 hingga 70 tahun yang disyaki berperanan sebagai pekerja syarikat dan pemilik kedai digunakan untuk menipu mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :