Ahli keluarga prospek menghadiri program Jalinan Kasih peringkat Penjara Kajang sempena Tahun Baru Cina pada 6 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sokongan ramai beri harapan prospek pulih kesilapan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KAJANG, 7 MAC: Program Jalinan Kasih anjuran Penjara Kajang memberi mesej kepada masyarakat supaya mengubah stigma terhadap prospek (banduan) demi membina sahsiah golongan itu pada masa depan.

Ketua Bahagian Pengurusan Banduan dan Pemasyarakatan Fadzli Mohamad Majidi berkata cabaran besar itu perlu dihadapi berikutan penolakan orang ramai boleh menghalang mereka untuk berubah.

“Sejujurnya prospek sangat mengharap bantuan dan berminat menyertai program kemasyarakatan, cuma cabaran besar stigma masyarakat mengenai penerimaan mereka.

“Jika tiada penerimaan masyarakat terhadap prospek, ini boleh menghalang mereka untuk berubah kerana banduan memerlukan ruang dan peluang daripada masyarakat,” katanya di sini semalam.

Fadzli menambah program tersebut memberi peluang kepada prospek menjalinkan semula silaturahim bagi memastikan mereka mempunyai kesedaran dan motivasi meneruskan kehidupan.

Program sempena Tahun Baharu Cina itu memilih 32 prospek berbangsa Tionghoa untuk meraikan perayaan bersama keluarga sekitar dua jam dengan jamuan ringkas dan persembahan.


Pengarang :