Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Subsidi tepung gandum tidak ditamatkan, salur ke program Payung Rahmah

SHAH ALAM, 25 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menafikan menamatkan pemberian subsidi tepung gandum bernilai RM40 juta.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata peruntukan itu sebaliknya dipindahkan dalam butiran perbelanjaan program Payung Rahmah berjumlah RM200 juta.

Jelas Fuziah, pemindahan peruntukan dilakukan berikutan subsidi berkenaan tidak pernah dituntut pengilang sebelum ini.

“Dalam Belanjawan 2023 ada butiran mengenai subsidi tepung gandum untuk kegunaan am sebanyak RM40 juta tetapi pada Belanjawan 2024 tidak ada butiran ini.

“Peruntukan RM40 juta itu ada tapi kita letak di bawah butiran Payung Rahmah. Kita tidak tamatkan subsidi tepung gandum untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah-PN) mengenai penamatan pemberian subsidi tepung gandum di Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah berkata, beliau pernah memaklumkan hal sama ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Tidak ada kilang mahu menghasilkan tepung gandum kegunaan am, selain rakyat pun tak pernah minta. Yang keluar tepung pelbagai cap, yang ada tepung cap Ros, dan lain-lain,” katanya.

Subsidi tepung gandum kegunaan am membabitkan agihan kuota dan bayaran tuntutan subsidi kepada pengilang bagi memastikan tepung gandum bersubsidi dijual pada harga runcit RM1.35 sekilogram.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan subsidi tepung gandum kegunaan am ditamatkan mulai tahun ini.

Menurutnya pengeluaran tepung bersubsidi tidak dapat diteruskan berikutan pengilang tidak mampu mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 per kilogram.


Pengarang :