Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf sekitar Hulu Langat pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Uum, Seksyen 1 Bangi, Hulu Langat pada 30 Mac 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan serah sumbangan raya RM262,500 kepada 525 asnaf di Hulu Langat

HULU LANGAT, 30 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Umm, Seksyen 1, Bangi di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM262,500 kepada 525 asnaf dan mualaf sekitar Hulu Langat.

Keceriaan tergambar pada wajah 263 penduduk miskin, 164 asnaf fakir, dan 98 mualaf yang masing-masing menerima sumbangan RM500.

Dalam majlis sama, Baginda turut berkenan merasmikan Masjid Al-Uum yang siap dibina pada Disember 2017 dan mampu memuatkan sehingga 3,200 jemaah dalam satu masa.

Masjid di atas tanah seluas dua ekar ini dibina dengan kos RM21.4 juta hasil sumbangan orang ramai dan peruntukan Kerajaan Negeri.

Selepas santapan berbuka puasa, DYMM Sultan Selangor menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih berjemaah.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.


Pengarang :