PETALING JAYA, 2 MAC: Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan Program Selangor Bertadabbur di luar bulan Ramadan dalam usaha mendekatkan rakyat dengan al-Quran.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata program tahunan bagi mengimarah bulan suci Islam itu perlu dianjur selalu bagi memulih jiwa dan rohani warga Selangor.
“Jangan berhenti di Ramadan. Kita akan cuba teruskan di sekolah, masjid dan surau demi untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran kerana al-Quran bukan sekadar panduan tapi melebihi segalanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/P_SelangorBertadabbur2024-4-500x333.jpg.webp)
“Masyarakat kita perlu pengubatan, bukan hanya fizikal tapi pemulihan terhadap rohani. Pada hari ini kita berdepan pelbagai masalah antara manusia dengan haiwan, alam sekitar termasuk fitnah yang berleluasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Selangor Bertadabbur di Masjid Al-Husna, Bandar Sunway di sini, hari ini. Turut hadir EXCO Agama Dr Fahmi Ngah.
Program keagamaan yang memasuki tahun keenam penganjurannya itu menampilkan tema surah Al-Hujurat yang akan disampaikan di 20 surau dan masjid terpilih sepanjang Ramadan ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/P_SelangorBertadabbur2024-7-500x333.jpg.webp)
Anjuran Asatizah Selangor (ANAS) dengan kerjasama Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Jais akan turut mengedar karya terjemahan surah Al-Hujurat oleh Sheikh Majdi Makki terbitan ANAS.
Program Selangor Bertadabbur mula diperkenal sejak 2019 bagi menghidupkan suasana Ramadan dengan aktiviti bermanfaat.