Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melawat program potong royong peringkat Subang Jaya di Dewan MBSJ SS15, Subang Jaya pada 6 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan hadir program Potong Royong

SUBANG JAYA, 6 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan melawat program Potong Royong peringkat Subang Jaya di Dewan Serbaguna MBSJ SS15, di sini.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin tiba jam 11 pagi disambut Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim; Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze dan ADN Kota Kemuning S Preakas.

Baginda turut berkenan mendengar taklimat berhubung pemandulan kucing dan anjing serta melawat reruai pameran mengenai tatacara menguruskan haiwan itu di kediaman yang dikendali Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan bergambar bersama selepas melawat program potong royong peringkat Subang Jaya di Dewan MBSJ SS15, Subang Jaya pada 6 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tengku Permaisuri berkenan meluangkan masa hampir dua jam melawat program anjuran Persatuan Menolong Haiwan (SPCA) Selangor; MBSJ; Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ Muhammad Azli Miswan berkata program itu dianjurkan bermula semalam hingga 10 Mac ini dari 10 pagi hingga 3 petang.

Katanya, 200 ekor kucing dan 200 ekor anjing peliharaan di Subang Jaya dimandulkan secara bersubsidi hasil tajaan Pejabat ADN Subang Jaya, ADN Kota Kemuning dengan masing-masing menaja RM30,000.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyaksikan serahan sumbangan ADUN Subang Jaya kepada wakil SPCA selepas melawat program potong royong peringkat Subang Jaya di Dewan MBSJ SS15, Subang Jaya pada 6 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Program ini julung kali dianjurkan dengan kerjasama SPCA Selangor bertujuan mengatasi cabaran populasi haiwan peliharaan yang tidak terkawal dan menggalakkan pemilikan dengan bertanggungjawab.

“Kita turut membuka kaunter permohonan lesen anjing bagi memastikan setiap pemilik mempunyai lesen pemeliharaan dan turut diadakan program ‘adoption’ kucing dari Pusat Kurungan Haiwan MBSJ,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Tengku Permaisuri yang juga Penaung Diraja SPCA Selangor turut berkenan menyaksikan serahan cek cura daripada Michelle dan Preakas kepada Pengerusi SPCA Christine Chin.

 


Pengarang :