SHAH ALAM, 4 MAC: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan mencemar duli ke majlis santapan petang Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) sempena ulang tahun ke-40 hari ini.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan melafazkan ucapan dan menyempurnakan gimik perasmian dengan menurunkan tanda tangan di atas papan tanda Selamat Datang yang akan dipamerkan di Rumah Puspanita Selangor.
Baginda turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga penerima Ikon Puspanita Selangor dan bekas pengerusi Puspanita Selangor yang berkhidmat dari 1994 hingga 2021.
Terdahulu, keberangkatan Baginda ke Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disambut Penaung Puspanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad dan EXCO Wanita Anfaal Saari.
Turut hadir Pengerusi Puspanita negeri Datin Padiah Safian dan Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan Puan Seri Norizam Che Mohd Nor.
Majlis yang dihadiri lebih 400 ahli Puspanita Selangor dimeriahkan dengan persembahan artis legenda Datuk Khatijah Ibrahim.
Sementara itu, dalam sembah ucapan kepada Tengku Permaisuri Selangor, Padiah memaklumkan setakat ini Puspanita di Selangor memiliki 8,366 ahli dan sejak penubuhannya telah diterajui 16 pengerusi.
“Pelbagai aktiviti dilaksana Puspanita berteraskan 5K iaitu kekeluargaan, keagamaan dan pendidikan, kebajikan, kesukanan dan keusahawanan. Antara aktiviti dianjurkan berbentuk lawatan ilmiah, ceramah dan kemahiran.
“Puspanita Selangor turut terlibat secara langsung dalam program Kerajaan Negeri seperti Jelajah Selangor Penyayang di setiap daerah. Selain itu, kenangan paling manis kami mendapat tempat ke tiga kategori badan swasta/ pertubuhan bukan kerajaan pada kawad perbarisan sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri,” katanya.