Penduduk Palestin yang dipindahkan menunggu untuk menerima bekalan makanan yang semakin berkurangan susulan konflik berterusan antara Israel dan Hamas di Rafah, Semenanjung Gaza pada 27 Februari 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Tentera AS rancang bina pelabuhan hantar bantuan ke Gaza

WASHINGTON, 8 MAC: Tentera Amerika Syarikat (AS) dan rakan kongsinya merancang untuk membina sebuah pelabuhan sementara di pantai Semenanjung Gaza dalam usaha menyampaikan bantuan tambahan kepada orang awam di wilayah terkepung itu, menurut seorang pegawai kanan kerajaan AS di sini.

“Malam ini, presiden akan mengumumkan bahawa beliau mengarahkan tentera AS bagi mengetuai misi kecemasan untuk menubuhkan sebuah pelabuhan di pantai Gaza yang boleh menerima kapal besar yang membawa makanan, air, ubat-ubatan, dan tempat perlindungan sementara,” katanya.

Pegawai kanan itu merujuk kepada ucapan State of the Union oleh presiden kepada Kongres yang dijadualkan pada petang Khamis.

Menurut seorang lagi pegawai kerajaan, rancangan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan Washington bahawa bantuan yang masuk ke Gaza adalah “jauh daripada mencukupi dan tidak cukup pantas”.

Pelabuhan itu terutamanya akan terdiri daripada jeti sementara yang menyediakan kapasiti untuk membolehkan ratusan trak tambahan bantuan setiap hari.

Situasi kemanusiaan di Gaza agak teruk dengan kelaparan semakin meningkat dalam kalangan penduduk manakala lebih 30,000 penduduk Palestin terbunuh sejak konflik antara Israel dan Hamas meletus pada 7 Okt lepas.

-BERNAMA-dpa


Pengarang :