AGENDANASIONAL

TH terima permohonan maaf, dakwaan pendeposit hilang wang selesai

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menerima permohonan maaf daripada seorang pendepositnya, atas dakwaan kehilangan wang miliknya.

Bahagian Komunikasi Korporat TH dalam kenyataan memaklumkan insitusi itu, telah memberikan penerangan terperinci kepada pengadu berdasarkan bukti yang jelas, malah satu pertemuan juga telah diadakan bersama pendeposit iaitu Datu Jabidah Monseri di Kuching, Sarawak, hari ini.

“Beliau telah melahirkan rasa kesal serta membuat permohonan maaf. TH menerima permohonan maaf dari beliau dan turut berterima kasih kepada Datu Jabidah, atas kerjasama baik yang telah diberikan,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan TH mendapati dakwaan seorang pendepositnya kerugian lebih RM30,000, selepas wang dalam akaun TH miliknya disyaki dipindahkan ke akaun milik orang lain, didapati tidak benar sebaliknya ia dimasukkan ke dalam akaun bank milik wanita itu sendiri.

Dalam pada itu, TH turut menegaskan institusi itu mempunyai sistem pengurusan deposit yang selamat dan teguh, serta sentiasa memberi perhatian serius terhadap keselamatan dan integriti operasi.

Menurut kenyataan itu, platform dalam talian iaitu THiJARI juga telah dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan menepati standard dan amalan terbaik pasaran, setaraf dengan aplikasi yang digunakan oleh institusi perbankan.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan transaksi yang mencurigakan, pendeposit boleh menghubungi Hotline Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.

– BERNAMA


Pengarang :