Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman (dua, kanan) menunjukkan pistol yang digunakan penjenayah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada 12 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga penjenayah Geng Centro maut, berbalas tembakan dengan polis

KUANTAN, 12 MAC: Tiga penjenayah warga asing dikenali ‘Geng Centro’ yang disyaki terlibat dalam kes samun dan pecah masuk kedai emas melibatkan jumlah kerugian lebih RM4 juta ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di KM 17 Jalan Pekan – Kuantan Bypass, 11.30 malam tadi.

Dua lelaki warga Vietnam dan seorang warga Bangladesh masing-masing berusia 36, 44 dan 38 tahun itu maut dalam kereta Proton Waja.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Pahang mengesan kereta itu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang, Pekan.

Beliau berkata suspek diminta berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun mereka yang dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan jenayah di Pekan bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek menghimpit serta melanggar belakang kenderaan polis sehingga kereta suspek terhenti, dan ketika polis hendak membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Bagi mempertahankan diri polis membalas tembakan sehingga suspek tumpas, dan susulan pemeriksaan di dalam kereta, polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 beserta tujuh peluru dan tiga kelongsong peluru,” katanya pada sidang media di IPK Pahang di sini, hari ini.

Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan dimiliki warga Bangladesh itu membawa penemuan beberapa barangan seperti mesin gerudi dan mesin grinder, parang serta tukul besi.

Yahaya berkata dua lelaki warga Vietnam itu mempunyai pasport dan memasuki negara ini sebagai pelawat, manakala siasatan lanjut latar belakang suspek warga Bangladesh masih dijalankan.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan penjenayah itu adalah memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang serta menebuk peti besi menggunakan mesin grinder sebelum melarikan barang berharga.

Dengan tertumpasnya geng berkenaan, Yahaya berkata polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuk kedai emas sejak Jun 2023 iaitu masing-masing satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang manakala tiga kes di Perak.


Pengarang :