EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah berucap sempena Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Transformasi digital 5G tambah 750,000 peluang pekerjaan, tingkat potensi KDNK

SHAH ALAM, 4 MAC: Pemerkasaan transformasi digital menerusi liputan 5G bakal mewujudkan penambahan 750,000 pekerjaan baharu di negeri ini menjelang 2030, kata EXCO pembudayaan inovasi.

Dr Fahmi Ngah dalam sidang Dewan Negeri Selangor berkata ia juga dapat mewujudkan potensi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira RM150 bilion menjelang 2030.

“Pelaksanaan rangkaian 5G merupakan salah satu tunjang penting dalam menzahirkan aspirasi Kerajaan Negeri.

“Ia termasuk dalam mencapai visi Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) dan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) seperti terkandung dalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Antara projek yang akan dijayakan melalui pelaksanaan rangkaian 5G di bawah IDRISS adalah NCT Smart Industrial Park, Sepang, Sepang Gold Coast, Sepang 2000, Selangor Business Capital dan Guocoland Emerald Sepang,” katanya hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat yag ingin tahu mengenai bagaimana rangkaian 5G membantu pembangunan di Selangor.

Mengulas lanjut Fahmi berkata sehingga 31 Disember peratusan liputan 5G di kawasan berpenduduk di Selangor mencapai 95.9 peratus.

“Sebagai perbandingan peratusan liputan 5G negara berada pada paras 80.2 peratus,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati Dato’ Noorazley Yahya yang ingin tahu peratusan capaian internet di kawasan itu Fahmi berkata kadar liputan internet sehingga suku keempat 2023 bagi kawasan berpenduduk di Parlimen Kuala Selangor adalah 99.95 peratus.

“Ia merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) ljok, Jeram dan Bukit Melawati manakala bagi jalur lebar talian tetap pula sebanyak 7,902 premis tersedia dengan capaian gentian optik,” katanya.


Pengarang :