Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dinobatkan juara pertandingan debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2024 kategori institusi pengajian tinggi menjulang piala disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Kuala Selangor pada 10 Mac 2024. Serahan turut disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi (dua, kiri) dan Ketua Eksekutif STDC Mohd Ramali Abu Bakar (dua, kanan). Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

USIM juarai debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2024

KUALA SELANGOR, 10 MAC: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjuarai pertandingan debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2024 kategori institusi pengajian tinggi di sini hari ini.

Membawa pulang wang tunai RM8,000, USIM mengetepikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dinobatkan naib juara, manakala Universiti Pertahanan Nasional Malaya pada tempat ketiga.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM2,000, yang disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis penutup di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor.

Dalam majlis tersebut, peserta dari UKM Hafiz Hafizi Norependi sekali lagi dipilih pendebat terbaik akhir, sekali gus mempertahan kemenangan diraih tahun lalu.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata pertandingan berkenaan dapat melatih peserta untuk berfikir secara rasional seterusnya mengemukakan cadangan bernas.

“Ini bukan sekadar menguji siapa petah berkata-kata tetapi juga memberi pandangan berguna dalam sesuatu isu,” katanya.

Bagi kategori prauniversiti, asasi Universiti Malaysia mengungguli kategori berkenaan diikuti UKM dan  Universiti Utara Malaysia.

Pertandingan debat itu diperkenal pada 2019 di Universiti Selangor dan dianjur kali kedua tahun lalu di Universiti Islam Selangor.

 


Pengarang :