Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat PN sokong MB isu tohmahan terhadap sultan

SHAH ALAM, 6 MAC: Wakil rakyat Selat Klang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Dato’ Menteri Besar berikutan Perikatan Nasional (PN) Selangor berdiam diri terhadap tohmahan kepada Raja-Raja Melayu.

Menegaskan keputusan itu dibuat dengan rela hati, Datuk Abdul Rashid Asari dalam kenyataan berpendapat tindakan gabungan tersebut juga berlawanan prinsip orang Melayu beragama Islam.

Jelasnya, langkah itu turut mengambil kira pujian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap pentadbiran Dato’ Seri Amirudin Shari dalam landasan tepat demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini akibat beberapa siri tindakan PN terutama di Selangor yang berdiam diri terhadap tohmahan kepada Raja-Raja Melayu. Ini berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.

“Saya turut mengambil keputusan ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat terutama penduduk di kawasan Selat Klang yang akan menerima manfaat daripada kerajaan stabil dan padu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang.

Sebelum ini, setiausaha sulit kepada Sultan Selangor menyifatkan kenyataan sinis presiden PAS berhubung sikap “Raja-raja perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia” tidak bersesuaian dan tidak beradab.

Dato’ Muhamad Munir Bani berkata kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu bertentangan budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan kepada Raja-raja.

Teguran itu menjawab kenyataan Abdul Hadi di Facebook pada 20 Februari yang dipercayai mengulas titah ucapan Baginda ketika mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

Baginda mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari yang membatal 16 daripada 18 peruntukan enakmen tersebut seperti petisyen yang dibawa peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Semalam, Abdul Hadi dilapor mengutus warkah kepada Sultan Selangor tetapi isi kandungannya tidak didedah.


Pengarang :