Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima cek cura bayaran zakat daripada Worldwide Holdings ketika majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Negeri Shah Alam pada 13 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Worldwide Holdings serah zakat perniagaan RM2.82 juta kepada LZS

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 14 MAC Worldwide Holdings Berhad (WHB) membayar zakat perniagaan berjumlah RM2.82 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun 2024 haul 2023 di Masjid Negeri, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata pihaknya mengutamakan urusan tersebut dengan niat mendapat keberkatan atas pendapatan tahunan syarikat.

Menerusi kenyataan, beliau menjelaskan bayaran tersebut juga bagi memenuhi tanggungjawab dan komitmen syarikat itu sebagai entiti perniagaan tempatan.

“Di samping membersih dan menyuburkan harta perniagaan, kami turut berharap sumbangan ini dapat membantu LZS merealisasi dan mengembang (pelbagai) perancangan.

“(Ia) berkaitan pembangunan sosioekonomi rakyat, pemerkasaan agenda amalan berasaskan alam sekitar dan sosial serta tadbir urus khususnya di Selangor,” katanya.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada empat anak syarikat Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Norazlina berkata WHB komited memenuhi misi menyumbang semula kepada rakyat menerusi pelbagai aktiviti pembangunan sosial dan ekonomi bawah program Worldwide Prihatin.

Menurutnya, tanggungjawab sosial korporat itu termasuk kerjasama strategik bersama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bermula 2022, dengan sumbangan RM200,000 setiap tahun.

“Ia bagi membiayai yuran pengajian dan menyediakan alat bantuan pendidikan untuk pelajar bawah naungan YRMS dalam kalangan asnaf dan fakir miskin,” katanya.

Selain itu, katanya, WHB turut mengukuhkan kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerusi tajaan Pesta Buku Antarabangsa Selangor setiap tahun.

“Inisiatif yang dijayakan bersama rakan kerjasama strategik diharap menjadi lambang komitmen serta dedikasi WHB menyumbang kepada usaha meningkat taraf kualiti hidup rakyat,” jelasnya.


Pengarang :