Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan hadir menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Masjid Masjid Taman Putra Perdana, Sepang pada 24 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yide terima sijil perakuan pemprosesan data peribadi

SEPANG, 24 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) hari ini menerima sijil perakuan pendaftaran pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial kategori kesihatan daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Pengerusinya berkata perakuan itu secara langsung dapat meningkatkan ketelusan dan kualiti pengurusan data peribadi kendalian Yide termasuk data penyumbang, anak yatim berdaftar di bawahnya dan penerima bantuan umum lain.

“Yide merupakan yayasan keempat di Selangor yang telah berdaftar dengan JPDP bagi pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

“Yide berdaftar di bawah kategori kesihatan melibatkan enam pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) seliaan kami di Bukit Jelutong, Kapar, Kuala Selangor, Shah Alam, Sungai Besar dan Taman Melawati,” kata Tan Sri Mazlan Mansor.

Beliau berkata demikian pada majlis sumbangan Aidilfitri Yide yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Masjid Taman Putra Perdana di sini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Masjid Masjid Taman Putra Perdana, Sepang pada 24 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tambah Mazlan, perlindungan data peribadi menjadi keutamaan Yide selain menitik berat kelangsungan dan kesejahteraan kebajikan anak yatim, keperluan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di enam pusat dialisisnya dalam bentuk rawatan, kaunseling.

“Yide sentiasa mendapat sokongan pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan dan kelangsungan bantuan kepada anak yatim dan penerima manfaat lain terjaga dan diharap sokongan ini akan berterusan,” katanya.

Terdahulu Tengku Amir berkenan menyaksikan penyerahan sijil perakuan pendaftaran pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial kategori kesihatan yang disampaikan Ketua Pengarah JPDP Prof Dr Mohd Nazri Kama kepada Mazlan.

Pada majlis sama Tengku Amir turut berkenaan menyerahkan sumbangan Aidilfitri daripada Yide berjumlah RM64,050 kepada 427 anak yatim di daerah Sepang.


Pengarang :