DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat pelajar sekolah menjalani latihan klinik bola pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di SK Taman Muda, Ampang Jaya pada 26 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

200 pemain bola sepak cilik teruja jumpa Raja Muda Selangor

AMPANG, 26 APRIL: Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor mengujakan kira-kira 200 pemain bola sepak cilik yang menjalani latihan di Sekolah Kebangsaan Taman Muda di sini hari ini.

Tengku Amir Shah yang tiba bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sempena program Gagasan Rumpun Selangor meluang masa lebih 30 minit melihat murid sekitar Ampang dikendali lapan jurulatih Selangor FC Soccer School.

Turut serta dalam Klinik Bola Sepak Selangor FC ialah pemain Gergasi Merah bawah 23 tahun iaitu Rahman Daud, Akmal Azlan, Adam Haikal, Haykal Danish dan Zarif Zaini selain ketua jurulatih Nizam Jamil.

Nurizzsofiah dan Nurizzdayani Zahid

Pasangan adik-beradik Nurizzdayani Zahid, 11 dan Nurizzsofiah, 12, gembira apabila berpeluang dilatih jurulatih Selangor FC.

“Saya dan kakak memang minat sukan ini. Bapa daftarkan kami dengan kelab bola dan berlatih lebih tiga tahun.

“Hari ini seronok dapat timba ilmu dari jurulatih profesional. Boleh tambah ‘skill’ dan tahu teknik baharu,” kata Nurizzsofiah.

Memasuki hari terakhir Rumpun Selangor daerah Hulu Langat, Tengku Amir Shah memulakan program dengan bersarapan bersama rakyat di Laman Selera MPAJ@Ampang Jaya

Selepas menyantuni dan beramah mesra, Baginda kemudiannya mengadakan lawatan ke tanaman melon di Pandang Jaya kira-kira 30 minit.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat kebun tanaman melon pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Pandan Jaya, Ampang Jaya pada 26 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bermula kelmarin hingga hari ini, Tengku Amir Shah melawat beberapa kawasan antaranya Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasek Tambahan, Ampang dan Laman Medan Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Pelbagai program menarik di setiap lokasi antaranya persembahan silat, tarian, kebudayaan, muzik jalanan, rewang dan santapan kenduri.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini meliputi beberapa agenda antaranya dasar dan lagu perpaduan.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM4.5 juta bagi menjayakan program itu di sembilan daerah.


Pengarang :