Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah Norlela Ismail (empat, kiri) ketika sidang media di Kastam Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

82 gelung besi bernilai RM2.2 juta dirampas

SEPANG, 1 APRIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah merampas 82 gelung besi untuk pembinaan seberat 323,278 kilogram bernilai RM2.2 juta termasuk duti import di sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 19 Mac lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor) Norlela Ismail berkata serbuan menerusi Ops Bersepadu itu dilakukan kira-kira 11.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan dagangan besi yang diimport dari sebuah negara di Asia Timur. Pengimport gelung besi berkenaan didapati membuat ikrar tidak benar bagi bahan dagangan itu yang diimport untuk kegunaan sektor pembinaan.

“Semakan terhadap dokumen pengimportan disyaki wujud cubaan untuk menyeleweng duti dan cukai terlibat. Kesemua bahan dagangan itu disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata disiasat di bawah Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran tidak benar.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata pihaknya turut merampas 1,362.27 liter minuman keras disyaki tidak berkastam di sebuah premis di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor, pada 14 Mac.

Beliau berkata serbuan kira-kira 8 malam itu dilakukan hasil pemerhatian dan pemeriksaan rapi oleh sepasukan anggota daripada bahagian penguatkuasaan Zon Tengah Unit III.

“Modus operandi sindiket ini ialah dengan menyembunyikan pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak berkastam dalam bilik rahsia di premis itu.

“Selain itu, pemeriksaan turut menemukan 800 setem kastam disyaki palsu yang masih belum digunakan selain setem yang telah ditampal pada botol minuman berkenaan,” katanya.

Susulan itu, katanya seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

– BERNAMA


Pengarang :