Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pada 23 April 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
AGENDANASIONAL

Agong zahir takziah, titah ATM jalankan siasatan terperinci

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak pagi ini.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu.

“Saya dan Raja Zarith Sofiah berasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini. Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

“Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Sultan Ibrahim.

TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Difahamkan insiden berlaku ketika latihan lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

– BERNAMA


Pengarang :