Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama tetamu pada jamuan Aidifitri di balai raya lama Kampung Pasir Kerling Kuala Kubu Bharu pada 14 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin teruskan tradisi ziarah raya, bangga semangat kebersamaan antara rakyat

HULU SELANGOR, 14 APR: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa melakukan ziarah raya sekitar Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Amirudin memulakan program dengan menyertai jamuan Aidilfitri bersama kira-kira 200 penduduk Kampung Pasir Kerling, Kuala Kubu Bharu di sini serta menyampaikan duit raya kepada lebih 30 kanak-kanak.

Beliau seterusnya menziarahi Naib Pengerusi Veteran UMNO Hulu Selangor, Md Yusoff@Mustafa Kamarudin di kediamannya di Taman Pesara, Kuala Kubu Bharu di sini yang turut disertai penduduk tempatan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada jamuan Aidifitri di balai raya lama Kampung Pasir Kerling Kuala Kubu Bharu pada 14 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sejurus selesai Amirudin seterusnya menghadiri jamuan Aidilfitri di Kampung Ampang Pechah di sini yang disertai kira-kira 100 penduduk berbilang bangsa sebelum dijadual meneruskan ziarah ke jamuan aidilfitri di Taman Seri Batang Kali dan perayaan tahun baru Tamil Chittirai Puttandu malam ini.

Beliau ketika ditemui berkata semangat kebersamaan pelbagai kaum di daerah itu dipamerkan masyarakat apabila rumah terbuka atau jamuan Aidilfitri yang dianjurkan disertai rakyat pelbagai bangsa bukan hanya masyarakat Melayu.

“Ini kekuatan yang telah kita bentuk selama ini. Saya percaya sumbangan mendiang Lee Kee Hiong (penyandang DUN Kuala Kubu Bharu) dan ini pimpinan yang berjaya membentuk keharmonian dan kesepakatan erat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada jamuan Aidifitri di balai raya lama Kampung Pasir Kerling Kuala Kubu Bharu pada 14 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu Md Yusoff@Mustafa atau lebih dikenali sebagai Anjang Kamarudin berkata beliau sangat menghormati kepimpinan Amirudin yang proaktif dan bijak menyelesaikan serta mengetengahkan isu rakyat negeri ini.

“Wakil sebegini yang kita perlukan di parlimen. Tidak kira sebelum ini kita sefahaman atau sebaliknya saya menghormati wakil rakyat yang bijak mengetengahkan isu rakyat bukan isu merapu.

“Beliau (Amirudin) Menteri Besar kedua yang datang ke rumah saya, walaupun sudah tahu (mengenai kedatangannya) tiga, empat hari sebelum, persiapan kita buat biasa sahaja kerana beliau sudah pesan tidak perlu sambutan apa-apa. Beliau mahu ziarah rakyat saja,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama Naib Pengerusi Veteran UMNO Hulu Selangor, Md Yusoff@Mustafa Kamarudin di kediaman veteran politik itu di Taman Pesara, Kuala Kubu Bharu pada 14 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :