Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah meluangkan masa bertemu keluarga aktivis kemanusiaan Muhammad Nadir Al-Nuri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 17 April 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

AMK negeri hargai dukungan pemimpin PAS kepada PM dalam isu Palestin

SHAH ALAM, 20 APRIL: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor yakin banyak lagi pertemuan dan perbincangan antara PAS dan Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat dan umat.

Mengalu-alukan penghargaan Dr Zuhdi Marsuki selaku ahli jawatankuasa PAS Pusat terhadap Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, ketua AMK negeri berharap sikap itu tidak terhad dalam isu Palestin.

Izuan Kasim dalam kenyataan hari ini menjelaskan sikap tersebut juga menunjukkan perbezaan ijtihad politik parti tidak mestinya sentiasa bertembung sebaliknya kerjasama boleh dibuat.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor Izuan Kasim. REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Malah, tidak salah kita bekerjasama dalam mendepani isu negara, terutama soal kepentingan umat sejagat seperti isu Palestin, ekonomi dan kesejahteraan negara,” katanya.

Menyifatkan kenyataan berkenaan positif untuk kepentingan negara, Izuan berkata Zuhdi berjiwa besar dalam menanggapi kejujuran Anwar selaku pemimpin negara.

“Usaha Anwar dan Kerajaan Malaysia menjayakan misi membawa pulang keluarga Muhammad Nadir Al-Nuri (Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia) dari Gaza mendapat banyak reaksi positif termasuk pemimpin PAS,” katanya.

Dalam tulisan di Facebook dua hari lalu, Zuhdi menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang lantang dalam membela saudara seagama di Palestin, malah perdana menteri itu berani keluar dari zon selamat.

Zuhdi dalam laporan Malaysiakini pula berharap krisis di Palestin dapat membuka mata pemimpin beragama Islam di Malaysia untuk memulakan gencatan politik.

Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam Utusan pula berkata ketokohan Anwar pada peringkat antarabangsa diakui ramai pemimpin dunia.


Pengarang :