SHAH ALAM, 17 APRIL: Halal International Selangor (HIS) berhasrat mewujudkan platform maklumat berpusat (CIP) bagi menyimpan data ekosistem industri berkenaan untuk pihak berkepentingan.
Berikutan itu, Jabatan Inovasi Digitalnya mengalu-alukan pembida mengemukakan kertas cadangan komprehensif dan sebut harga pelantikan kontraktor bagi membangunkan pangkalan data tersebut.
Jelasnya, CIP salah satu inisiatif utama dalam sektor tumpuan industri halal bawah teras ekonomi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), yang akan mewujudkan ekosistem berkaitan halal dalam talian.
“(Ia) mengumpulkan maklumat atau data industri halal seperti syarikat, produk, pemasaran, perniagaan, pemain industri perkhidmatan dan lain-lain.
“CIP merupakan pangkalan data membentuk ekosistem industri halal bagi menyimpan data yang boleh digunapakai oleh pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
HIS Toyyiba Sdn Bhd, anak syarikat Kerajaan Negeri melaksana inisiatif RS-1 menerusi Jawatankuasa Tetap Industri Halal Selangor dalam menjadikan negeri bertaraf global memangkin industri berkenaan.