Banting, Nilai dan Cheras mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 2 petang, 8 April 2024. Foto laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS)
AGENDANASIONAL

Banting, Nilai, Cheras catat udara tidak sihat takat 2 petang

SHAH ALAM, 8 APRIL: Tiga kawasan catat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 2 petang ini, dengan Banting, Kuala Langat merupakan kawasan paling terjejas dengan bacaan tertinggi 157.

Laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan IPU 108 dan Cheras, Kuala Lumpur dengan 109.

Sebanyak 42 lagi kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana (51-100) manakala 23 kawasan lain merekodkan bacaan IPU baik iaitu kurang daripada 50.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam, berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan semalam memaklumkan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) di Singapura mengesan titik panas di dalam dan luar negara.

Menurutnya, kawasan itu melibatkan dua titik panas di Sumatera, lapan titik panas di Kalimantan dan 12 titik panas dikesan di dalam negara, iaitu 11 di Pahang dan satu di Terengganu.

Sehubungan itu, JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta situasi jerebu negara.


Pengarang :