AGENSISELANGOR

Buku agama, kerohanian ungguli carta 10 naskhah IBDE terlaris

SHAH ALAM, 4 APRIL: Buku agama dan kerohanian termasuk karya terbaharu Detik-Detik Akhir Empayar Utsmaniah mengungguli carta 10 buku terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) terlaris pada Mac.

Naskhah lain yang menjadi pilihan ialah Apa Itu Tasawuf?, Salahuddin Al-Ayubi Raja Penakluk, Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun ke-9 dan Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati.

Tiga karya Imam Al-Ghazali turut berada dalam kedudukan 10 teratas iaitu Ramuan Kebahagiaan, Menghidupkan Ilmu Agama Jilid 1: Kitab Ilmu dan Penyelamat Daripada Kesesatan.

Sementara itu, buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal tulisan asal Martin Lings, yang meraih pelbagai anugerah antarabangsa masih menjadi pilihan ramai sejak tahun lalu.

Karya berjudul Gelagat dan Ragam Orang Melayu berkenaan situasi menarik di Tanah Melayu mengikut pengamatan bekas Gabenor Jeneral Negeri-negeri Melayu Bersekutu Frank Swettenham juga laris.

Enam daripada karya tersebut iaitu Detik-Detik Akhir Empayar Utsmaniah, Apa Itu Tasawuf?, Gelagat dan Ragam Orang Melayu, Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun ke-9, Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Ramuan Kebahagian diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd.

Judul lain diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, dengan sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.


Pengarang :