Menteri Digital Gobind Singh Deo (tengah) beramah mesra bersama penganut Sikh pada sambutan Hari Vaisakhi di Pusat Komuniti Khalsa Land Gurdwara Sahib di Kuala Kubu Bharu pada 13 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Kuala Kubu Bharu sedang dipertimbang, umum sebelum 27 April

KUALA KUBU BAHARU, 13 APRIL: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu masih dalam perbincangan, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo.

Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata pihaknya menerima banyak cadangan nama sebagai calon HARAPAN dalam PRK itu dan senarai nama berkenaan sedang dipertimbangkan.

“Perbincangan bersama PH Selangor telah diadakan dan soal berkenaan dengan calon itu akan diputuskan, kemudian dibawa ke peringkat pusat dengan jawatankuasa yang dianggotai lima pemimpin akan membuat keputusan.

“Kami berharap dapat memuktamadkan keputusan untuk meletakkan calon dalam PRK Kuala Kubu Bharu dalam masa terdekat dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon,” katanya ditemui selepas upacara sembahyang Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Khalsa Land Camp Site di sini hari ini.

Mengenai kunjungannya ke Gurdwara Sahib Khalsa Land Camp Site bersempena dengan Hari Vaisakhi, Gobind yang juga Menteri Digital berkata selain untuk meraikan permulaan musim menuai mengikut kalendar masyarakat Punjabi dan Sikh itu, ia juga bertujuan beramah mesra bersama penduduk di kawasan berkenaan.

4 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Bharu ialah PRK ketujuh yang akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

– BERNAMA


Pengarang :