Dua anak Selangor antara empat pelajar Malaysia berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Foto Facebook Harvard University
AGENDANASIONAL

Dua anak Selangor antara empat pelajar Malaysia terpilih ke Universiti Harvard

SHAH ALAM, 8 APRIL: Dua anak Selangor antara empat pelajar Malaysia terpilih melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Dua pelajar tersebut ialah Victor Ngow dan Thamini Vijeyasingam, manakala seorang pelajar dari Johor iaitu Elisa See dan Bryan Lim dari Kuala Lumpur.

Mereka antara 1,937 pelajar dari 94 negara seluruh dunia yang diterima masuk ke universiti terkemuka dunia itu. Universiti itu menerima 54,008 permohonan pada tahun ini.

“Victor merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, manakala Thamini menamatkan pengajian menengahnya di ELC International School di Sungai Buloh.

“Victor ialah pemegang biasiswa Petronas dan berhasrat mengambil jurusan Sains Alam Sekitar dan Polisi Awam atau Kejuruteraan Alam Sekitar. Thamini bercadang belajar dalam bidang Ekonomi dan Falsafah,” katanya, lapor The Star.

Victor Ngow (kiri, cermin mata) salah seorang daripada empat pelajar Malaysia yang terpilih melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Foto Facebook Victor Ngow

Semua pelajar terbabit dijangka menamatkan pengajian di Universiti Harvard pada 2028.

Sementara itu, penemuduga Alumni Harvard College untuk Malaysia, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob berkata universiti mencari pelajar yang menunjukkan komitmen mendalam terhadap minat mereka.

“Mereka mempunyai rasa ingin tahu dan motivasi dalaman untuk menjadi pemangkin kepada orang ramai dan organisasi di sekeliling mereka untuk melakukan lebih banyak dan lebih baik.

“Setiap tahun, kami mendengar dan mempelajari bagaimana anak muda Malaysia yang berbakat ini telah menyumbang kepada masyarakat dengan cara mereka sendiri,” katanya.


Pengarang :