Kaunter bayaran zakat di Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor, Seksyen 14, Shah Alam. Foto Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

Elak penyelewengan, LZS pastikan hanya amil bertauliah kutip zakat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 APRIL : Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa memantau bagi memastikan hanya amil berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) membuat kutipan zakat.

Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan kutipan zakat di negeri ini.

Menurutnya, LZS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mencemar nama baik agensi atau amil untuk kepentingan peribadi.

“Berdasarkan peruntukan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, mana-mana individu yang memungut zakat atau fitrah tanpa dilantik sebagai amil atau diberikan kuasa oleh Mais adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan.

Abdul Aziz berkata orang awam juga dinasihatkan berhati-hati dengan mana-mana individu atau pertubuhan yang melaksanakan aktiviti kutipan zakat di Selangor tanpa kebenaran Mais melalui pelantikan atau kad tauliah sah yang dikeluarkan LZS.

“Orang ramai juga disaran untuk melaporkan sebarang tindakan atau aktiviti kutipan zakat oleh mana-mana individu atau pertubuhan yang tidak dilantik atau diberi kuasa oleh Mais atau LZS,” katanya.


Pengarang :