Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (lima, kanan) bersama deligasi Selangor menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Hannover Messe di Pusat Kongres Hannover (HCC), Hannover, Jerman pada 21 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hadiri persidangan teknologi di Jerman, Selangor tekad bawa kepakaran penuhi keperluan negeri

SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Selangor menjadi wakil tunggal Malaysia menghadiri majlis perasmian Hannover Messe, persidangan dan pameran teknologi kejuruteraan mekanikal dan elektrik terkemuka dunia di Jerman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peluang berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membawa kepakaran dan teknologi yang ada untuk memenuhi keperluan Selangor dan Malaysia.

“Acara ini memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan, pengeluaran mesra iklim dan penyelesaian tenaga hijau, dengan penyertaan daripada syarikat utama seperti Microsoft, Google, Perkhidmatan Web Amazon, Dell, SAP, Siemens, Bosch dan syarikat pemula di seluruh dunia.

“Matlamat kami adalah untuk membawa kembali kepakaran dan teknologi untuk memenuhi keperluan Selangor dan Malaysia,” kongsinya di Facebook.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) diiringi Pengarah Uni Perancang Ekonomi Negeri Dato’ Johary Anuar (tiga, kiri) menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Hannover Messe di Pusat Kongres Hannover (HCC), Hannover, Jerman pada 21 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengetuai delegasi negeri, Amirudin turut mengambil bahagian dalam forum bersama tiga lagi delegasi Asia Tenggara bagi membincangkan kerjasama kerajaan dan industri untuk memajukan matlamat kemampanan di Asean.

Beliau membentangkan perancangan serta cabaran Kerajaan Selangor dalam menjadi negeri peneraju sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional serta kemampanan pembangunan di Asia Tenggara.

Terdahulu, majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Kongres Hannover dihadiri oleh Canselor Jerman Olaf Scholz, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Gertrud von der Leyen dan Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Støre.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Tindaro Danze (tengah) dan Pengarah Uni Perancangan Ekonomi Negeri Dato’ Johary Anuar ketika menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Hannover Messe di Pusat Kongres Hannover (HCC), Hannover, Jerman pada 21 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :