Kakitangan MPAJ bersama wakil Maybank dan FGV Holdings menunjukkan kupon diskaun yang diberikan kepada pengunjung bazar Ramadan Taman Melawati. Foto ihsan MPAJ
PBTSELANGOR

Insentif RM500 buat peniaga bazar rekod transaksi tanpa tunai tertinggi

SHAH ALAM, 1 APRIL: Maybank menawarkan insentif sehingga RM500 kepada enam usahawan bazar Ramadan Taman Melawati yang merekod jumlah transaksi tanpa tunai dan nilai penjualan tertinggi.

Tawaran dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut menyediakan subsidi RM2 kepada pengunjung dengan pembelian minimum RM10 tertakluk terma dan syarat.

Menerusi kenyataan, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan usaha berkenaan selari matlamat pembangunan lestari untuk menghidupan kerjasama global demi pembangunan bandar mampan.

“Istimewa tahun ini, MPAJ bersama Maybank dan FGV Holdings menjayakan bazar Ramadan tanpa tunai untuk menjadikan Ampang Jaya sebagai Bandar Digital Berdaya Huni menjelang 2025.

“(Usaha juga selari) konsep mendigitalkan usahawan di Selangor untuk menggalakkkan transaksi
bebas tunai dalam urusan jual beli,” kata PBT itu.

Pada masa sama, MPAJ berkata peniaga ditaja khemah dan apron serta harga promosi minyak masak, krimer, santan dan marjerin sebagai kemudahan menyediakan jualan juadah berbuka.

Untuk rekod, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ meluluskan 835 lesen sementara bazar Ramadan di 16 lokasi pentadbirannya, termasuk 128 petak di Taman Melawati.

 


Pengarang :